Ahad, Mei 24, 2009

generasi al-Quran, Generasi Unik

June 23, 2008 by zahratulhilal

Sememangnya di sepanjang perjalanan dakwah ini akan menghasilkan suatu generasi manusia. Tetapi belum pernah terjadi orang-orang itu berkumpul dalam jumlah yang sebegitu banyak, sebagaimana yang terjadi semasa generasi pertama dari era sahabat, radhiallahuanhum. Ia mempunyai rahsia yang patut kita renungkan secara mendalam.

Menghadkan Al-Quran Sebagai Sumber Rujukan
Sumber dakwah ini telah pun berada di tangan kita secara lengkap, dan ia adalah Al-Quran dan hadith Rasulullah SAW. Dari kedua inilah bermulanya sejarah yang mulia. Generasi pertama, suatu generasi yang belum pernah lahir sekali lagi dalam sejarah menggunakan sumber rujukan Al-Quran. Ya, hanya Al-Quran sahaja. Hadith dan petunjuk Rasulullah SAW hanya salah satu tafsirannya.
Ketika Aisyah r.a ditanya tentang budi pekerti Rasulullah SAW, maka dia menjawab : Bahawa budi pekerti baginda adalah Al-Quran (riwayat An-Nasaii)
Dengan demikian, hanya Al-Quran sajalah satu-satunya standard ukuran mereka untuk berfikir dan Al-Quran menjadi cara hidup mereka. Bukannya pada masa itu tiada tamadun, pengetahuan, ilmu, buku, pelajaran. Tidak! Bahkan pada masa itu telah wujud tamadun Rom, yang merangkumi pengetahuan dan hukum yang masih dihayati Eropah hingga kini. Wujud juga tamadun Greek Kuno, logika, falsafah dan keseniannya yang masih menjadi sumber pemikiran Barat. Tamadun Parsi, mewah dengan sastera, kepercayaan dan dongengnya. Malah wujud tamadun-tamadun lain di wilayah berdekatan seperti India dan China. Kesemua tamadun ini mengelilingi Jazirah Arab. Dan di tengah jazirah itu sendiri, berkembang pula agama Yahudi dan Nasrani.

Maka, pada zaman itu yang mengalami kekurangan bukanlah tamadun antarabangsa atau kebudayaan internasional sehinggakan generasi pertama terpaksa membataskan diri hanya pada Kitabullah. Tetapi hal ini adalah satu metodologi yang disengajakan. Ini kita dapat lihat dari kemarahan Rasulullah SAW pada waktu baginda melihat di tangan Umar r.a selembar kitab Taurat, maka baginda bersabda: “Demi Allah, seandainya Nabi Musa a.s hidup di kalangan kamu sekarang ini, nesacaya ia mesti mengikuti ajaranku” (al-hafiz Abu Ya’la, dari Hammad, dari Al-Sya’bi, dari Jabir)Ini memperlihatkan pada kita bahawa Rasulullah SAW menghadkan sumber rujukan generasi pertama hanya Al-Quran sahaja. Baginda meluruskan keadaan mereka dan membersihkan jiwa mereka dengan berpandukan pada Al-Quran semata. Kerana itu, Rasulullah SAW sangat marah pada Umar r.a kerana cuba mengambil sumber rujukan lain.
Rasulullah SAW ingin membina satu generasi yang suci jiwanya, bersih otak dan konsepsinya, bersih kejadiannya dari pengaruh lain selain dari kaedah ilahiyyah yang termaktub dalam Al-Quran. Kerana itu, faktor ini menjadi satu yang unik dalam sejarah. Tetapi, lihatlah apa yang terjadi kini. bermacam sumber telah berbaur, ada yang dipengaruhi cerita Israeliyat yahudi, teori kristian dll. Sayangnya semua ini telah bercampur dengan tafsir Al-Quran, ilmu kalam (falsafah), malah fiqh dan usul. Oleh sebab itulah, generasi pertama tidak akan lahir untuk kali keduanya.

Menurut Perintah Dan Segera Melaksanakannya
Faktor kedua, generasi pertama memandang Al-Quran bukan untuk menambah pengetahuan atau meluaskan pandangan. Bukan juga untuk dinikmati keindahan sasteranya dan menikmati rasa nikmat yang timbul dari sastera itu. Bukan juga untuk menambahkan perbendaharaan ilmu dalam masalah fiqh. Sehingga otaknya penuh dengan ilmu.
Tetapi, mereka mempelajari Al-Quran untuk menerima perintah untuk segera dilaksanakannya. Tidak ubah seperti pasukan tentera di medan tempur, “terima perintah dan arahan”. Kerana itu, tidak ada seorang yang meminta tambahan perintah dalam satu kali pertemuan. Kerana mereka merasa itu hanya akan memperbanyakkan tanggungjawab di bahunya. Mereka sudah merasa puas dengan sepuluh ayat sahaja, dihafal dan diamalkan seperti ditulis dalam hadith Ibnu Mas’ud r.a.
Perasaan inilah, perasaan menerima perintah daan segera menunaikan, menyebabkan Al-Quran membukakan bagi mereka perspektif kemudahan dan pengetahuan, yang mereka maksudkan bukan untuk itu sebenarnya. Namun, disebabkan perasaan itu, tugas mereka yang hakikatnya susah menjadi mudah, tanggungjawab berat terasa ringan.
Al-Quran telah melebur dalam jasad mereka, sehingga mendarah daging dalam kehidupan mereka. Al-Quran menjadi suatu cara hidup harian, ilmu yang hidup, bukan tersimpan di otak atau buku catatan, tetapi telah merubah paksi perjalanan hidup mereka.
Al-Quran tidak akan menyerahkan seluruh rahsia perbendaharaannya pada orang yang, berjiwa pengetahuan melahirkan perbuatan. Al-Quran datang bukan untuk menjadi buku yang menempa mentaliti, bukan buku sastera atau seni, bukan buku cerita dan sejarah, walaupun tak dinafikan semua itu termasuk dalam kandungannya. Al-Quran datang untuk menjadi panduan cara hidup, diperkenalkan Yang Maha Suci secara beransur-ansur dan sedikit-sedikit.
“Dan Al-Qur`an itu telah Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang, dan Kami menurunkannya beransur-ansur.” (Surah Al-Isra’ (perjalanan) , 17:106 )
Al-Quran turun sesuai dengan masalah praktikal kaum muslimin dalam kehidupan nyata, sesuai dengan pertumbuhan dalam pemikiran dan konsepsi mereka. Satu atau beberapa ayat diturunkan secara khusus, menceritakan apa yang terdapat dalam hati mereka, menggambarkan hal yang mereka alami, memberi panduan tentang kaedah dan cara kerja, mengkoreksi kesalahan pemikiran dan perbuatan mereka, menghubungkan semua ini dengan Allah ‘Azza wa Jalla, memperkenalkan mereka pada sifat Tuhan yang menguasai alam semesta.
Maka pada masa itu, mereka hidup dalam ketinggian alam yang suci dan kudus, di bawah pandangan dan naungan Ilahi.
Kaedah inilah melahirkan generasi pertama. Cuba bandingkan dengan generasi sekarang. Sudah pasti faktor kedua ini juga penting, menjadi penyebab adanya perbezaaan kita dengan generasi qurani yang unik ini.


Meninggalkan Jahiliyah Secara Total
Faktor ketiga pula, umumnya generasi sahabat apabila telah masuk agama Islam, maka mereka meninggalkan seluruh masa silamnya di zaman jahiliyah. Pada masa mereka datang kepada Islam, mereka merasakan memulakan zaman baru, terasa terpisah sama sekali dengan zaman jahiliyah. Mereka merasakan sifat ragu-ragu dan ketakutan adalah tidak layak untuk Islam. Kalau mereka merasa lemah dalam melaksanakan kewajipan Islam, segera mereka merasa berdosa dan bersalah. Di lubuk hati, perasaan ini perlu dibersihkan dari apa yang telah menodainya. Mereka sangat berusaha untuk bertindak sesuai dengan petunjuk Al-Quran.
Terdapat pemisahan mentaliti secara total antara zaman jahiliyah dan zaman setelah mereka berada dalam Islam. Dari sini, timbul pemisahan secara total juga dalam hubungan sosial mereka dengan masyarakat jahiliyah disekeliling. Mereka masih berurusan dengan musyrikin dalam bidang perniagaan dan pergaulan, tetapi pemisahan secara keseluruhan secara mental itu sangat membezakan pergaulan mereka.
Oleh itu, dari proses mencabut diri dari persekitaran jahiliyah dan adat tradisinya, mereka menanamkan aqidah tauhid. Dari cara hidup jahiliyah, mereka merubah diri kepada cara hidup Islam. Ini terjadi dengan mereka menggabungkan diri dalam komuniti muslim dan kepimpinan baru. Mereka memberi sikap loyaliti kepada masyarakat baru dan pimpinan baru dengan hati yang patuh dan tunduk kepada Ilahi.
Ini adalah suatu persimpangan jalan. Mereka memulakan satu jalan baru, lapang dan bebas dari tekanan tradisi yang memberatkan masyarakat jahiliyah.

Mereka tidak bertolak ansur atau bertindak separuh jalan sahaja. Tidak! Sesungguhnya ia adalah dua jalan yang berbeza. Kalau mereka mengikuti langakah jahiliyah walau setapak, nescaya mereka akan kehilangan seluruh arah dan mereka akan sesat jalan.

Tugas Pertama Kita
Kita lihat zaman kini. Nilai Islam tidak wujud dalam diri kita kerana apa yang terdapat disekitar kita adalah jahiliyah, baik kepercayaan, adat, sumber ilmu dan sastera, hukum dan peraturan. Malah apa yang kita sangka sebagai tamadun Islam, falsafah Islam, pemikiran Islam, hakikatnya adalah produk jahiliyah di abad moden.
Oleh kerana itu, kita seharusnya mampu membebaskan diri dari saki baki pengaruh masa lalu kita. Dari mana mahu mengambil kekuatan? Ia adalah dari sumber suci Al-Quran, sumber di mana generasi pertama menimbanya. Kita mesti segera kembali pada perasaan untuk menerima perintah untuk segera diamalkan. Kita kembali untuk kita mengetahui kita diperintah untuk menjadi apa, supaya kita menjadi seperti itu. Dalam perjalanan itu nanti, kita akan menemui keindahan seni Al-Quran seperti yang diingini oleh orang yang ingin mempelajari dan menikmati. Tetapi itu bukan tujuan utama nya.
Tujuan utama kita adalah untuk mengetahui: Apakah yang diperintah dalam Al-Quran untuk diamalkan? Apakah konsep total yang Al-Quran menyuruh kita memilikinya? Bagaimana Al-Quran mengajar kita mempunyai perasaan dan keyakinan terhadap Alllah SWT? Bagaimana semestinya budi pekerti dan sikap kita dalam kenyataan hidup ini?
Seterusnya, kita mesti bersedia melepaskan diri dari tekanan tradisi, kepimpinan dan masyarakat jahiliyah dalam lubuk hati kita. Kita tidak boleh bertolak ansur dengannya. Sesungguhnya tugas pertama kita adalah merubah diri kita sendiri. Kemudian, barulah merubah masyarakat.


Ayuh. Kita segera sahut seruan tugas pertama ini!
sumber: olahan Pedoman Pendakwah Sepanjang Zaman, Syed Qutb

Tiada ulasan:

Catat Ulasan